HIDUP SELAGI HIDUP!
Kata bijak pandai, kehidupan umpama satu pelayaran. Cubaan dan ujiannya umpama gelombang yang sangat menggerunkan. Oleh sebab itu bahtera kehidupan mesti kukuh. Kemudinya mesti ampuh. Jika tidak, layar patah dan bahtera akan terolang-aleng lalu tenggelam dihempas gelombang. Jika boleh diumpamakan bahtera itu diri kita, maka kemudinya ialah iman. Kita tidak akan gusar betapapun hebatnya gelombang, jika kemudi di tangan mampu mengawalnya.
Maka begitulah dalam menghadapi ujian hidup… kita tidak akan bimbang sekiranya iman di hati tetap mantap. Diri tidak akan hilang kawalan. Kita akan terus menghadapi segalanya dengan penuh keyakinan. Berpegang kepada prinsip:
“Jika takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai.”
Dengan iman, kita punya keberanian – hidup selagi hidup! Kita tidak, kita akan menjadi umpama bangkai bernyawa, yang hidup segan, mati tak mahu. Tanpa iman, kita menjadi pengecut – menjadi orang yang berani mati kerana takut hidup… membunuh diri! Dikebumikan pada tahun ini tetapi hakikatnya telah mati lima tahun yang lalu!
Justeru, iman adalah sumbu kehidupan, harta yang tidak dapat dinilai. Sumayyah sanggup berkorban nyawa demi iman. Bilal sanggup disiksa kerana iman. Sayidina Abu Bakar telah mengorbankan seluruh hartanya demi iman. Bagaimana dengan kita? Sanggupkah kita mengorbankan segala-galanya untuk mendapat iman? Mari kita muhasabah…
Bagaimana ketika kita dibangunkan dari tidur yang lena untuk bangun mengerjakan solat Subuh? Lesu atau bersemangat? Sanggupkah kita mengorbankan masa untuk mendengar kuliah agama buat menjana iman? Bandingkan dengan masa yang kita berikan untuk hiburan yang melalaikan? Tanyakan kepada diri ke manakah harta, tenaga dan masa telah kita berikan… ke jalan iman atau sebaliknya?
Kalaulah ditanya manakah yang lebih berharga? Iman atau harta? Tentu kita menjawab iman. Tetapi mungkin itu hanya kata-kata. Benarkah itu juga yang kita rasa? Iman sebenarnya lebih berharga daripada mutiara. Malah jika dikumpulkan seluruh isi langit dan bumi ini, maka kita dapati iman tetap lebih berharga. Harta akan musnah jika tidak dibelanjakan ke jalan Allah, namun iman kekal sampai membawa kita ke syurga.
Tetapi bak kata pepatah, “hanya jauhari mengenal manikam” – maksudnya hanya orang yang berilmu sahaja yang menyedari tentang agungnya nikmatnya iman. Sijahil tidak akan menghargai nikmat iman, sama seperti sibuta yang yang tidak dapat melihat cahaya atau kera yang disuguhkan bunga!
Iman sangat berharga sama ada di dunia mahupun di akhirat. Sesiapa saja yang memiliki iman di dada, dia akan mendapat ketenangan, keharmonian dan kebahagiaan dalam hidup. Sesiapa pula yang memiliki iman di akhirat, dia akan mendapat hati yang sejahtera. Dia akan dapat keredhaan dan keampunan-Nya. Juga dia akan mendapat syurga Allah swt.
Dengan adanya nikmat iman, barulah nikmat-nikmat yang lain berguna. Jika ada iman di dada, nikmat harta akan menjadikan seseeorang itu hamba Allah yang pemurah. Dia akan merasakan harta itu adalah amanah dari Allah. Lantas, harta itu tidak akan dibelanjakan ke jalan kejahatan dan kemungkaran. Sebaliknya, akan digunakan ke arah kebaikan.
Seorang yang beriman, akan menggunakan nikmat ilmunya ke arah kemajuan dan kebaikan. Dia akan mengajar orang lain dan mencipta rekaan-rekaan yang memudahkan kehidupan masyarakatnya. Dengan iman, seseorang tidak akan menjadi penipu, penzalim dan pemusnah dengan ilmunya. Ya, bila ada iman kita seolah-olah memiliki segala-galanya. Sebaliknya jika hilang iman, kita hilang segala-galanya.
Jadi apa sebenarnya iman ini sehingga ia dianggap begitu berharga? Iman sebenarnya bukanlah sekadar ucapan. Iman adalah kepercayaan dalam hati, yang diucapkan dgn lidah. Jika hanya ucapan, tetapi tidak dengan keyakinan, itu munafik (berpura-pura). Jika hanya ada ucapan dan keyakinan tetapi tidak ada tindakan (amalan), itu fasik (berdosa).
Memanglah menjadi sunnatullah dan peraturan dalam hidup ini, semua benda yang berharga memang payah untuk dicari. Contohnya pasir, mudah untuk kita mendapatkannya. Di mana-mana pun ada pasir. Tetapi jika hendak mencari mutiara, kita perlu menyelam hingga ke dasar lautan. Mencari dan menggali, membersihkan barulah ditempa sehingga menjadi mutiara yg bersinar dan cantik.
Berbagai-bagai jawapanlah yang kita dengar. Ada yang mengatakan, dia boleh mewarisi iman daripada bapanya yang warak. Ada yang berbangga dengan datuknya yang warak. Ada yang mengatakan dia boleh mendapatkan iman melalui pembacaan atau melalui ilmu pengetahun. Apakah begitu mudah? Mari kita susuri realitinya…
Oleh kerana iman itu berharga ibarat mutiara, memanglah sukar untuk mendapatkannya. Jadi kita kena berusaha mencari dan terus mencari. Kita memang tidak nafikan, doa si ayah atau si datuk yang bertaqwa memang ada kesannya. Namun itu bukan cara yang utama untuk mendapatkan iman.
Lihatlah sejarah Nabi Nuh a.s. Baginda seorang Nabi yang mengajak semua keluarganya untuk beriman kepada Allah swt. Namun si isteri dan seorang anaknya engkar. Malah mereka mengganggap Nabi Nuh gila kerana membina sebuah bahtera besar di atas bukit yang tinggi. Walau nyawa sudah di hujung tanduk ketika tenggelam dalam banjir, mereka tetap tidak mahu beriman kepada Allah atau mengikut ayah mereka Nabi Nuh.
Jika kita mengatakan boleh mendapat iman melalui ilmu atau pembacaan, itu juga kita tidak nafikan. Namun mengapa ramai orang yang memiliki ilmu setaraf professor pun masih melakukan kemungkaran? Oleh itu, penting bagi kita mencari iman sebagaimana cara generasi awal Islam mencarinya. Mereka ‘mencari’ iman dengan berfikir, berzikir, bermujahadah dan melaksanakan syariat (peraturan) Allah.
Firman Allah swt:
“ yakni orang yang mengingati Allah (berzikr) ketika berdiri, duduk, berbaring dan sentiasa berfikir tentang tentang kejadian langit dan bumi lantas berkata, “Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau jadikan semua ini dengan sia-sia Maha Suci Engkau ya Allah, selamatkanlah kami dari api neraka.”
Al-Imran: 191
Para sahabat mendapat iman dengan melihat alam, binatang, tumbuhan, hujan dan sebagainya. Mereka melaksanakan apa yang didorong oleh Allah menerusi firman-Nya:
“Maka apakah kamu tidak memperhatikan bagaimana unta diciptakan, dan langit, bagaimana ia ditinggikan.”
Al-Ghaasyiyah: 17-18
Apabila mereka melihat semua itu mereka berfikir… dan akhirnya tiba pada satu kesimpulan bahawa tidak mungkin semua itu terjadi dengan sendirinya. Pasti ada yang menjadikannya. Jika matahari hebat, tentu Pencipta matahari lebih hebat. Jika alam ini indah, tentulah Penciptanya lebih indah.
Tidak terhenti setakat itu sahaja, bahkan mereka terus berzikir (mengingati) Allah. Mereka merasai Allah itu Maha Besar, Maha Suci, Maha Penyayang, Maha Berkuasa dan Maha Sempurna. Mereka merasakan bahawa zat yang mencipta matahari, bulan, bintang dan semesta alam ini mestilah dipatuhi perintah-Nya dan dijauhi larangan-Nya. Lalu merekapun melaksanakan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang ditegah oleh Allah. Mereka bersolat, berpuasa, meninggalkan zina, arak dan lain-lain.
Walaupun kekadang, yang ditegah Allah itu sesuatu yang disukai, manakala yang disuruh pula dibenci, namun mereka melawan kehendak diri sendiri demi mentaati perintah Allah. Berlaku ‘peperangan’ di dalam diri mereka sendiri – antara apa yang mereka ingin, dengan apa yang diingini Allah. Peperangan inilah yang dikatakan mujahadah atau berjuang sepenuh jiwa untuk mematuhi perintah allah. Hasil mujahadah ini, iman mereka bertambah dan akhirnya mereka merasakan kemanisannya. Firman Allah:
“Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keridhaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang berbuat kebaikan”
Al-Ankabut: 69
sumber: gentarasa.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan