Ada kalanya kelelahan dengan ujian hidup yang bertali arus. Lepas satu, satu. Life is to solve problems, begitu kata bijak pandai.
Allah telah lama mengingatkan kita melalui Al Quran bahawa mati dan hidup dijadikan untuk menguji kita siapakah yang terbaik amalannya? Kembali surah Al Mulk mengingatkan kita.
Berdoa untuk diberikan keteguhan hati. Come what may! Datanglah apa sahaja. Kan kita hadapi sebagai hamba-Nya. Jika kita benar dan berjaya… syukur. Jika kita tersalah, kita akur… kita ukir taubat dengan segera. Dosa kita menggunung tinggi, namun rahmat Allah melaut luasnya. Dengan berbekal takut (akan murkaNya) dan harap (ampunan-Nya), kita terus melangkah… patah sayap terbang jua. Jatuh tersungkur, bangkit semula walau terpaksa bertongkat dagu!
Hikmah itulah milik Islam tidak kira dari Barat atau pun Timur.
Maha suci Allah, yang misteri ketentuaan dan ditetapkan-Nya tidak dapat diduga dan diteka oleh sesiapa. Benarlah, “God always move in a mysterious way…”
Apakah kekuatan yang boleh membakar daya juang untuk terus bersemangat pada ketika yang begitu genting dalam perjalanan hidup seseorang? Jawabnya, jangan panjang angan-angan… Manfaatkan masa yang ada dan terus berkerja dalam waktu-waktu kritikal itu dengan segera. Kita tidak harus disusah-susahkan oleh angan-angan tentang masa depan yang jika dibayangkan pada masa sekarang akan membuat kita muram.
Oleh itu kita mesti merancang dan bekerja dengan apa yang sedang ada di tangan, tanpa takut dan bimbang akan hal-hal yang tidak menentu atau terbayang dalam angan-angan. Yang di tangan itulah realiti, yang ada dalam angan-angan itu cuma ilusi. Kita tidak mungkin hidup dalam dua alam yang samar - masa lalu yang memori dan masa depan yang ilusi. Hidup sebenar ialah hari ini yang realiti.
untuk mendapat ketenangan pada saat-saat kritikal dalam hidup ialah: Pendekkan angan-angan. Hiduplah dalam lingkungan hari ini. Saya ulang lagi, hiduplah dalam lingkungan hari ini. Ertinya, jangan dikhuatiri hari esok, jangan bimbangkan hari semalam…. Susun jadual hidup harian dan ikutilah dengan tenang.
Hidup umpama membaca lembaran-lembaran dari sebuah buku yang sangat tebal. Jangan gerun hanya melihat ketebalan buku itu, hingga hilang mood untuk membacanya. Atau terlalu gelojoh hingga membacanya secara meloncat-loncat tanpa mengikut tertib muka surat. Bacalah dari muka surat pertama, kedua, ketiga dan seterusnya. Buku yang tebal akan habis juga dibaca akhirnya. Bukan sahaja habis dibaca, bahkan ilmu yang dihidangkan akan dapat dihadamkan dengan mudah.
Tugas kita bukan melihat apa yang terletak jauh dan masih samar di hadapan, tetapi melakukan apa yang jelas di tangan.
Kebaikan yang boleh dilakukan pada hari ini, mereka terus laksanakan pada hari itu juga. Sementara kejahatan yang boleh diberhentikan pada hari ini, terus dihentikan ketika itu juga. Ibadat dan taubat mereka tidak kenal istilah nanti atau tunggu.
Baginda pernah bersabda, bahawa bila matanya terbuka, baginda tidak yakin apakah sempat baginda menutup matanya semula. Bila baginda menarik nafas, baginda tidak yakin apakah baginda akan dapat melepaskannya semula.
Ramai orang yang khuatir, bukan berfikir, tentang masa depannya. Terimalah realiti walaupun takdirnya ia tidak seperti yang kita harapkan. Lebih baik satu ringgit di tangan daripada berjuta-juta ringgit di alam angan-angan. Tetapi ingat satu ringgit di tangan jika benar-benar dimanfaatkan mungkin menjanjikan pulangan berjuta-juta ringgit pada masa akan datang.
Hidup adalah satu pusingan perubahan yang tidak henti-henti. Hukum alam menetapkan bahawa yang tidak berubah hanyalah perubahan. Oleh kerana itu adalah satu kerja gila jika kita hendak menyelesaikan ‘masalah-masalah’ masa depan yang hakikatnya belum berlaku. Kita tidak akan dapat menjejak kaki pada air sungai yang sama dua kali. Justeru air sungai sentiasa mengalir… dan begitu jugalah kehidupan akan terus berubah.
Jangan cuba mengawalnya. Jangan cuba mengambil ‘tempat’ Tuhan untuk mengawal semua perubahan kerana yang mampu mengawalnya hanyalah DIA yang tidak berubah-rubah. Inilah hikmah mengapa Qada’ dan Qadar Allah dirahsiakan daripada pengetahuan manusia. Agar dengan itu manusia boleh hidup dengan aman tanpa diganggu walau sedikitpun oleh pengetahuan tentang masa hadapan.
Manusia boleh hidup dengan aman tanpa mengetahui tentang masa depannya. Madah pujangga, “masa lalu adalah kelmarin yang telah mati. Masa depan adalah esok yang belum lahir… tetapi selamatkanlah hari ini yang masih hidup.”
Hidup ini mesti ditangani dengan mudah. Namun ini bukan pula alasan untuk mempermudah-mudahkan hidup. Cuma “take it easy….”
Sesiapa yang khuatir tentang hari esok, akan mensia-siakan peluang yang ada pada hari ini. Sebaliknya sesiapa yang berfikir tentang hari esok, akan memanfaatkan peluang pada hari ini.
Angan-angan tentang kebaikan akan menyebabkan seseorang itu alpa. Angan-angan tentang keburukan akan menyebabkan seseorang itu kecewa. Manusia angan-angan tidak akan dapat merancang, bekerja dan berusaha dengan baik.
hiduplah dalam lingkungan hari ini kerana cara yang paling tepat untuk hari esok ialah dengan menumpukan perhatian dan bekerja dengan sepenuhnya pada hari ini. Pemikiran dapat mencari kesan dan sebab-sebab untuk melahirkan perancangan dan pelaksanaan. Kekhuatiran akan membawa kekusutan fikiran dan tekanan perasaan.
Seorang pakar psikologi – Robert Louis Stevenson berkata:
“Sesiapa sahaja boleh membuat kerjanya, walau bagaimana berat, untuk satu hari. Sesiapa sahaja boleh hidup dengan riang, penuh kesabaran, kasih sayang, bersih, sehingga matahari jatuh. Dan inilah sebenarnya makna kehidupan.
Hidup dalam lingkungan hari ini. Kita lebih kuat daripada apa yang kita jangkakan! Justeru, di sisi orang beriman, Allah sentiasa berada disisi. When God is your friend, who is your enemy?
Ya pendekkanlah angan-angan
BalasPadamhiduplah dalam lingkungan hari ini
Indahnya bila Allah yg menentukan hidup ini
buat diriku yg terlalu lelah mengharungi perhentian ini
moga Allah memberi keteguhan jiwa
take it easy....