Memaparkan catatan dengan label dirimu. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label dirimu. Papar semua catatan

Selasa, 28 Februari 2012

Bekal apa???



Assalamualaikum wbt, salam sejahtera..la ni jam hampir ke 3 suku pagi..tapi cik masih lagi tak tidoq..esok dah nak kerja..moga-moga cik tak lemah gemalai lah nak buat kerja esok..bukan tak nak tidoq tapi entahlah.
Sebenarnya cik baru ja menghadapi satu masalah yg sama tapi still cik tak dapat nak laluinya dgn baik. Bukan cik tak tahu, tapi cik lebih mengutamakan nafsu marah cik ni. So akibatnya banyaklah hati-hati yg terluka. Terutamanya kpd org yg patut kita hormati, malah mengatakan ah’ pun dah berdosa..inikan pula meninggikan suara dan mengeluarkan kata-kata yg menguris hati. Cik menyesal, tapi dah buat pun walaupun cik tahu tak sepatutnya begitu.
Kalau diikut bisikan nafsu + syaitan yg menghasut, memang mudah kita dambakan sesuatu itu utk kita telusuri Cuma bukan mudah utk menghadapi hari-hari tanpa kasih sayangNYA jika kita memilih utk jauh dgnNYA.
LARI@berhadapan.cuma dua ni saja pilihan cik. Entah.still goyah, walaupun apa yg cik hadapi adalah sama seperti sebelum ini. Ada cik kutip ayat dpd fb sunshine, dia kata:
“There will be times when the same test is being presented upon you again and again and there you are wondering why is this happening again and again..
The answer is because you are still unable to fully overcome it in the way that ALLAH want you.
The best way to overcome and face the problem is by following the best guidance provided by HIM.
Till you fully able to face it in the best way.....”
Iman cik still goyah bila berhadapan dgn situasi yg memerlukan cik mengamalkan apa yg dikehendakiNYA, bukan apa yg cik rasa saja. Susah nak jadi baik. Tapi lebih baik bersusah-susah di jalan kebenaran dpd jalan sebaliknya itu.

*hari ni first time cik ikut jemaah maghrib bersama staf tempat praktikal cik yg diimamkan oleh bos cik sendiri. Alhamdulillah. Yelah, teruskan hidup kerana kita hidup pasti ada tujuan dan tak sia-sia kerana yg memberinya adalah pemilik segala-galanya. Fokus ke mana kita akan pergi dan bekal apa yg kita akan bawa bila sampai masanya nanti. Betul, seaat pun takkan ditangguhkan bila sampai turn kita. Ingat mati cik amira zura...

Isnin, 9 Januari 2012

Mensyurgakan PERUBAHAN...............



Salam.....selamat sejahtera! Dah 9 hari berlalunya tahun 2012..sekejap ja........? memang  tak sedar dah makin singkat masa.
Macam mana hari hari anda semua? Moga masih mampu untuk bangkit, .cik dah jumpa balik semangat cik. Hangpa tau sebelum ni cik rasa kuat tapi tak tau tibatiba jadi lemah, dan hilang terus semangat.  Berkobar-kobar  api semangat tu dan tiba-tiba terpadam. Tiba tiba ke? Entahlah..ada lagi yang cik kena belajar dan cik jumpa artikel ni untuk kita manfaatkan bersama. Dipetik daripada langitillahi.com karangan – aburidhwan bertajuk Hijrah: Mensyurgakan Perubahan.
Setiap kali muncul bulan Muharam, kita pasti akan diperingatkan dengan peristiwa hijrah Rasul SAW dan para sahabat. Kita juga akan diseru untuk melakukan hijrah, berhijrah kepada yang lebih baik.
Pada saat ini, bagaimana perkembangan hijrah kita dari tahun ke tahun? Apakah proses hijrahnya masih berjalan? Turun naik prestasinya? Tidak menentu? Terbengkalai? Makin teruk? Merudum? Masih belum temui kunci untuk berubah menjadi lebih baik? Semoga perkembangan hijrah kita semakin baik, insyaAllah.
Buat anak muda di luar sana, janganlah pernah merasa lelah dan berhenti dari proses hijrah kepada yang lebih baik. Selagi mana anda meminjam oksigen yang pemiliknya Allah SWT maka selagi itu, bernafaslah dengan nafas sang penghijrah yang tidak pernah putus asa mengharap redha Allah dan keselamatannya di akhirat kelak!
Sudah menjadi lumrah, hati kita mudah berbolak balik kerana itu adalah sifatnya hati. Maka begitu jugalah dengan keazaman hijrah kita untuk menjadi baik, prestasinya turun naik juga. Tetapi wahai anak muda, berbicara berkenaan hijrah bukan sekadar menanam azam baru dan kemudian bersarang dengan sarang lelabah. Sebaliknya kita harus mencari asbab yang penting mengapa kita harus sentiasa berhijrah kepada yang lebih baik agar semangat hijrah dan mahu berubah tadi membentuk kehidupan kita menjadi hamba Ilahi yang terbaik. Andai kata kita masih lalai dan alpa, maka kita harus halusi, mencari sebab yang kukuh dan kuat untuk segera berhijrah agar dengan sebab yang kuat itu akan membantu melajukan momentum kita untuk berubah menjadi baik.
Arakiannya, kenapa kita harus berubah menjadi lebih baik? Apakah kerana mahu kita dipandang baik oleh sisi masyarakat? Apakah kerana kita mahu memenangi hati si pulan yang kita cintai?  Atau kerana kita ini adalah orang Melayu yang terkenal dengan budaya adab dan sopan? Jangan lupa ya, statistik masalah sosial meletakan bangsa kita, khasnya golongan belia sebagai peneraju segala penyakit masyarakat.
Hari ini berubah dan berhijrah itu semakin rumit, akibatnya ada yang berubah dari baik kepada kurang baik dan dari kurang baik kepada kebobrokan jiwa dan akhlak. Bahkan mereka ini berbangga pula dengan perubahan sebegini. Mengapa ini terjadi?

Mereka Luarbiasa!
Mengapa Bilal bin Rabah, masih mampu menahan batu besar yang diletakkan di atas dadanya di tengah padang pasir yang panas walaupun beliau boleh terlepas dari siksaan itu dengan hanya mengistiharkan dirinya keluar dari agama Muhammad?
Mengapa begitu setianya keluarga Yasir tatkala setiap hari Yasir, Sumayyah dan ‘Ammar dibawa ke padang pasir Mekah yang amat panas, lalu didera dengan pelbagai azab dan siksa hingga mencapai puncaknya. Namun keluarga ini menunjukkan sikap dan pendirian yang tetap terhadap Islam.
Apa makna hijrah bagi Suhaib ar Rumi apabila hijrahnya berubah dari seorang yang kaya kepada yang miskin? Ibnu Hisyam meriwayatkan bahawa ketika Suhaib RA berusaha hijrah, kafir Quraisy berkata kepadanya, “Ketika dulu kamu datang kemari, kamu sangat miskin dan tak dipandang sebelah mata. Kini kamu kaya raya. Kami tidak akan relakan kamu pergi membawa kekayaanmu.” Suhaib RA menjawab, “Jika kuberikan semua kekayaanku kepada kalian, akankah kalian relakan aku pergi?”. Kafir Quraisy menyetujuinya. Suhaib RA menyerahkan semua hartanya kepada mereka dan berhijrahlah ke Madinah. Mengetahui hal ini Rasulullah SAW berkata, “Suhaib telah melakukan pertukaran yang menguntungkan dirinya. Sungguh, Suhaib benar-benar telah melakukan pertukaran yang menguntungkan dirinya.”
Apa makna perubahan bagi Mus’ab bin Umair RA , seorang lelaki bangsawan yang ternama, bertukar menjadi mujahid yang akhirnya mati syahid dalam keadaan tidak cukup kain kafan untuk menutup jenazahnya.
Apa yang cuba diajarkan oleh Asma’ Binti Abu Bakar kepada kita. Peristiwa Hijrah menyaksikan pengorbanan dan keberanian Asma’ yang tiada tolok bandingannya. Beliau bersusah payah menyediakan bekalan makanan dan minuman buat Rasulullah dan ayahandanya Abu Bakar di saat genting seperti itu. Beliau mengoyakkan ikat pinggangnya kepada dua untuk dijadikan tali pengikat untuk mengikat bekalan makanan dan minuman tersebut, sehingga kerana peristiwa itu Rasulullah mendoakan beliau agar digantikan tali pinggang tersebut dengan yang lebih baik dan lebih indah di syurga kelak. Dengan kehamilannya ketika itu, Asma’ mengambil  peranan yang menjanjikan risiko tinggi, di mana bukan saja nyawanya menjadi taruhan, malah lebih dari itu, nyawa Rasulullah SAW dan ayahnya turut sama terancam.
Kenapa Hanzalah sanggup meninggalkan “malam pertama” bersama isteri tercinta semata-mata menyahut seruan jihad! Akhirnya beliau syahid dan jenazahnya dimandikan oleh para malaikat.
Apa yang berlaku kepada Abu Sufian, lebih dari 20 tahun menentang dakwah Rasulullah dan mengetuai peperangan memerangi Rasulullah SAW kemudian beliau tampil melakukan hijrah kubra dengan menyertai pasukan Rasulullah dan menjadi benteng Rasulullah SAW dalam perang Hunain. Sejak keislamannya, Abu Sufian menghabiskan waktunya dengan beribadah dan berjihad, untuk menghapus bekas-bekas masa lalu dan mengejar ketertinggalannya.
Apa yang mereka (para sahabat Rasulullah) belajar dari Rasulullah SAW sehingga mereka berhijrah dan berubah menjadi manusia luarbiasa? Mereka mulakan langkah hijrah dengan berani, yakin, semangat dan konsisten sehingga keakhirnya,

Momentum Iman, Mendambakan Syurga!
Ya! Inilah jawapannya. Mereka memiliki keimanan yang tulen, kemudian iman itu menjadi penggerak kepada perubahan mereka. Untuk berubah dan berhijrah, sudah pastilah kita perlukan pendorong yang betul dan kuat. Pendorong yang berbeza daripada pendorong-pendorong manusia biasa. Kita perlukan pendorong yang betul, hakiki dan abadi. Sesungguhnya dorongan iman adalah pendorong sebenar, yang datang dari lubuk hati yang yakin kepada Allah SWT. Sesungguhnya pendorong ini lebih kuat, gagah, istiqamah dan menjamin keiltizaman. Pendorong ini lebih bersih, suci dan dirasai nikmatnya oleh orang-orang mukmin. Hakikat imanlah yang mendorong orang mukmin melakukan perintah-perintah Allah SWT. Adapun pendorong lain boleh membawa kepada syirik dan sia-sia. Syirik telah banyak berlaku dalam masyarakat disebabkan manusia tidak memahami tauhid dan hakikat ‘ubudiyah kepada Allah SWT. Kita sentiasa disuruh menyemak akan objektif dan niat kita supaya semata-mata ingin mencari keredhaan Allah SWT.
Sesungguhnya buat para sahabat RA, Iman menjadi mendorong mereka untuk berhijrah meninggalkan kebobrokan dan keterpurukan jiwa kepada kemulian hati, ketinggian cita-cita untuk meraih redha dan syurga Allah. Ada lagikah matlamat terbesar selain beroleh redha Allah dan dimasukan kedalam syurga-Nya? Maka dengan momentum iman itulah mereka berjihad besar melawan hawa nafsu menyertai kafilah syurga! Allah SWT berfirman;
“Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dijalan Allah dengan harta dan jiwa mereka, lebih besar darjatnya disisi Allah. Dan mereka itulah orang-orang yang mendapat kemenangan. Tuhan menggembirakan mereka dengan rahmat dan keredaan-Nya dan syurga-syurga, mereka memperoleh di dalamnya kesenangan yang abadi, mereka kekal di dalamnya. Sesungguhnya Allah pada sisi-Nya pahala yang besar.” (At-Taubah:20-22)
Buat para pemuda pemudi Islam, mulakan perubahanmu dengan memperbaiki keimananmu kepada Allah. Untuk meraih perubahan yang benar dan “longlife”, maka berubahlah dengan asbab iman dan taqwa kita kepada Allah. Mari kita mensyurgakan perubahan diri kita.

Berlabuh di Taman syurga
Untuk memaknai dan memulai proses mensyurgakan perubahan kita, maka ayuh kita berlabuh di taman syurga Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda;
“Apabila engkau melewati taman-taman syurga, berlabuhlah di sana.” Ada sahabat bertanya, “Apakah taman-taman syurga itu.” Baginda menjawab, “Majlis-majlis ilmu.” (HR Thabrani)
Jangan pernah lekang hati kita dari menghadiri majlis-majlis ilmu, apatah lagi majlis tarbiyah ruhiyah. Justeru itu, saat umat Islam bercelaru dan melemah selepas kejatuhan khilafah Islam di Turki, Imam Hasan Al Banna memperkenalkan siri program-program di taman syurga dengan pelbagai nama dengan sistematik dan menarik seperti usrah, halaqah, ijtima’, tamrin, rehlah, mukayyam, muktamar dan sebagainya. Dalam pertemuan-pertemuan di taman syurga itu dipenuhi dengan tadabur Quran, membangun jiwa dan menguatkan keimanan bermula dari keteguhan aqidah, ketekunan ibadah, kemuliaan peribadi, kuat tubuh badan, melawan hawa nafsu, pengurusan sistematik sehinggalah lahirnya manusia yang bermanfaat. Taman-taman syurga ini hidup dengan proses menyirami hati-hati para sahabatnya dengan acuan iman dan dengan acuan itu bangkitlah generasi baru abad 21 yang mengulang kembali perjuangan risalah Rasulullah SAW dan para sahabat.
Begitu juga buat kami anak-anak muda di langitIlahi.com. Keberadaan dalam majlis-majlis halaqah adalah satu kewajiban buat kami semua, samada penulis, photographer, kartunis, editor, web master atau apa saja peranannya. Mensyurgakan perubahan bermula dengan berlabuh di taman-taman syurga. Itulah kewajipan kami dan anda semua juga.
Anak muda, jangan pernah meninggalkan majlis ilmu demi meraih syurga hakiki. Jangan bermalasan dan memberi alasan dengan kesibukanmu maka dikau tidak ada masa berlabuh di taman syurga. Nasihat Ibnu Taimiyah;
“Di dunia ini ada taman-taman syurga, barangsiapa tidak memasuki taman syurga di dunia, maka dia tidak akan dapat memasuki syurga itu di akhirat kelak.”
Sentiasalah melakukan “jump start” untuk berhijrah, berubah secara total dengan iman sebagai penggerak tujuan. Perkukuhkanlah iman dan lakukanlah hijrah setiap masa, di mana sahaja dan di posisi mana pun kita berada. Sentiasa set minda (mind set) untuk menjadi baik dan lebih baik di dalam diri kita yang menyebabkan apa sahaja yang kita fikir, rasa, buat dan laksanakan adalah ke arah Islam dan iman yang lebih baik. Salam hijrah!

Jumaat, 23 Disember 2011

Jangan Tidur Lepas Subuh

: untuk ingatan bersama
Kepada sahabat-sahabat yang disayangi mari kita muhasabah diri. Di sebalik diri kita ini, ada sifat pemalas yang perlu diubah. Jika kita tidak ubah tabiat pemalas kita ini, maka bermacam-macam impak negatif bakal menghanyutkan diri ke arah kemudharatan yang lebih besar.
Jika tidak sekarang, bila lagi bukan?Takkan mahu tunggu usia sudah senja baru kita terhegeh-hegeh mengubah diri. Ketika itu, tabiat pemalas kita sudah sebati dengan diri dan amat degil untuk disental segala kekotorannya yang sudah lama melekat dan merosakkan hati kita.
TABIAT PEMALAS YANG PERLU DIUBAH
Cuba cek diri kita, mana 1 menjadi amalan seharian :
1. Bangun subuh lewat
2. Tidur selepas subuh
3. Melewatkan waktu subuh
4. Ala kadar je bangun subuh
5. Tak bangun pun solat subuh
Sahabat-sahabat, masih ingat lagikah? Di waktu zaman berhingus dulu? Ustaz yang mengajar subjek Pendidikan Islam selalu bertanya di dalam kelas,
"Siapa yang tak cukup solat 5 waktu semalam, sila berdiri"
Tanpa segan silu, secara berjemaahnya kita pun bangun sahabat. Dan bila ditanya, rata-rata yang tak cukup solat 5 waktu, adalah kerana tidak bangun suboh. Kenapa ya sahabat?
Dan kenapa dari kecil lagi, kita dididik sebegini? Diberi penekanan betapa pentingnya bangun subuh dan meraikan ke"subuh"an dengan cara tidak tidur semula seperti bebelan mak kita.
"Jangan tidur lepas subuh. Rezeki tak masuk nanti"
"Anak dara tak manis tidur banyak. Matahari terpacak atas kepala baru nak bangun"
JIKA MAHU BERMUHASABAH
Rasulullah SAW tidak tidur selepas menunaikan solat subuh kerana Allah memberkati umat ini yang berpagi-pagi, "Ya Allah, berkatilah umatku yang berpagi-pagi." Untuk itu, para fuqaha' memakruhkan tidur selepas solat subuh.
Walaupun hakikatnya  tiada dalil dan hadis-hadis soheh mengenai larangan tidur selepas subuh, dan yang ada cuma pendapat daripada para ulama mengenai tidur selepas subuh adalah MAKRUH tetapi tiada larangan tidur selepas subuh.
Dinukilkan oleh Imam as-Safarini mengenai kemakruhan tidur selepas solat Subuh dan Asar : "Dimakruhkan tidurmu -wahai mukallaf- selepas solat Subuh, kerana waktu itu adalah WAKTU MENCARI REZEKI dan berusaha (syara' dan 'uruf) di sisi orang yang BERAQAL".
Tetapi, kita sedar tak wahai sahabat?
Kenapa seharian hidup kita tidak bermaya dan tidak bersemangat?
Kadangkala kita pernah menangis kerana tiada duit untuk bayar sesuatu yang penting, malah setiap hari kita pohon kepada Allah agar dimurahkan rezeki, tetapi seolah-olah tiada kesannya?
Kalau orang perempuan, bermacam-macam jenis pencuci muka dicubanya semata-mata nak "kulit bercahaya".
Kalau orang lelaki pula, kerisauan yang tak menentu, jadi bermacamlah "ubat kuat" yang dipakainya.
Kita nak ke isteri macam ini? Nak ke suami yang sebegini?Masing-masing menggeleng tersengih sendirian. Jika kita tak nak pasangan seperti sedemikan rupa, maka kitalah orang pertama dahulu yang kena berubah. Bukan nanti, tetapi sekarang.
MASA UNTUK BERUBAH
Maka untuk itu tidak ada alasan lagi untuk menyeru kepada PERUBAHAN.
Buat diri, pastikan masa yang terluang selepas subuh diisi dengan pelbagai aktiviti yang bermanfaat. Jangan tidur terlalu lewat jika sayangkan waktu keemasan di kala subuh.
Buat ahli jemaah, sudahlah diri sibuk, hanya masa ini sahajalah waktu untuk belajar. Gunakan masa sebaiknya.
Buat suami, carilah rezeki. Jangan tidur.
"Kemudian setelah selesai solat, maka betebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing) dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan) supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat). - Surah Al-Jumuah (Ayat 10)
Buat isteri, masaklah, kemas rumah dan sebagainya. Takkan hilang seri rumahtangga kalau kehidupan bermula sebelum terbit fajar. Mak mertua pun tak bising lagi.
"Pesanan terpenting untuk para imam dan bakal imam terutamanya untuk diri sendiri, biasakan diri jangan tidur lepas subuh dan jangan tinggal solat jemaah di masjid, nanti selepas kahwin boleh didik isteri, kalau tak dua-dua hanyut."
Buat pelajar, kalau nak tips study smart ingat hadith ini "kalau tidur selepas subuh papa dan tidur selepas asar boleh jadi 'gila'." Jangan salah pilih waktu untuk belajar atau menghafal.''
Ibnul Qayyim pernah berkata,"Pagi hari bagi seseorang itu seperti waktu muda dan akhir harinya seperti waktu tuanya."
Amalan seseorang di waktu muda berpengaruh terhadap amalannya di waktu tua. Jadi jika seseorang di awal pagi sudah bermalas-malasan dengan sering tidur, maka di petang harinya dia juga akan bermalas-malasan pula.
Antara AKAL dan NAFSU. Pertarungan ini hanya dimenangi jika manusia bersandarkan IMAN. Jika tidak manusia sama sahaja seperti haiwan, tidak menggunakan akal dengan betul. Pembaziran masa adalah perkara yang sangat merugikan. Dan hanya syaitan yang suka pembaziran. Masa itu ibadah. Semoga Allah memberi kebijaksanaan dan kekuatan untuk kita sama-sama mengikut perintah-Nya.
Sedang Nabi melewati anaknya Fatimah RA yang sedang berbaring pada waktu Subuh, maka Baginda bersabda :
"Wahai anakku, bangunlah dan hadaplah rezeki Tuhanmu, dan janganlah engkau jadi dari kalangan orang yang lalai, sesungguhnya Allah membahagikan rezeki manusia di antara terbit fajar hingga terbit matahari." (Diriwayatkan al-Baihaqi)
Biodata Kolumnis
Nur Na'imah Amarudin merupakan seorang pelajar perubatan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau menulis di muslimdoktor.blogspot.com